PASIR GUDANG – Keluarga kepada seorang guru wanita yang ditemukan badannya dalam tong sampah di Alor Gajah, Melaka, Januari lalu, reda dengan apa yang berlaku tetapi mahukan keadilan sewajarnya.
Suami kepada Istiqomah Ahmad Rozi, 34, iaitu Mohd Yusof Mokhtar, 35, menuntut supaya hukaman keras dikenakan kerana perbuatan suspek amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Harapan saya, kalau boleh saya nak hukuman yang setimpal untuk si pelaku. Kalau boleh hukuman gantung. Saya mahukan keadilan untuk isteri saya, tak patut (diperlakukan sedemikian rupa). Dia seorang yang taat pada suami dan amat sayangkan anak-anaknya.
“Dia (isteri) seorang yang baik, kalau ada apa-apa akan dia minta izin dengan saya. Saya nak keadilan untuk dia (isteri), memang kejam dia (pelaku) buat macam itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Masai di sini hari ini.
Bapa kepada empat anak itu mengulas mengenai pengesahan dua ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan pihak polis terhadap penemuan badan tersebut pada Januari lalu dan penemuan kepala seorang wanita kira-kira tiga hari lalu adalah sah milik arwah Istiqomah.
Pada 26 Disember lalu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, itu tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja.
Sehari selepas itu, laporan berhubung kehilangannya diterima polis dan kemudian kereta milik arwah ditemui di sebuah pasar raya terkemuka di bandar raya ini.
Pada 28 Disember, berita mengenai kehilangan Istiqomah mula tular dan Mohd Yusof menyatakan sudah mengusahakan pelbagai cara untuk mengesan isterinya termasuk mendapatkan khidmat perubatan Islam.
Pada 6 Januari lalu, media melaporkan seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemui disumbat dalam tong sampah dan dibuang dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, pada 31 Disember lalu namun identiti masih belum diketahui.
Pada 12 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui dalam tong sampah pada 31 Disember lalu itu adalah milik Istiqomah.
Bercerita lanjut, Mohd Yusof berkata, semua anaknya iaitu Naura Auni, 9, Muhammad Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4, sudah faham dan pasrah dengan pemergian ibunya.
“Anak sulung saya banyak diam, termenung dan rindukan ibunya. Saya beritahu dan pujuk dia, abah ada, datuk dan nenek pun ada. Anak sulung dan kedua tak menangis, dia akan kata mama (panggilan arwah untuk anak-anaknya) pergi ke sekolah.
“Anak sulung saya sebelum ini tak mahu pergi sekolah kerana kawannya selalu bertanya dan beritahu ibunya sudah hilang. Anak sulung saya banyak ikut isteri yang merupakan seorang pendiam dan suka tolong orang,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Saleha Ya, 58, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu ketika bercuti kira-kira dua hari sebelum Istiqomah dilaporkan hilang.
Katanya, ketika bercuti bersama-sama keluarga arwah di Morib, Selangor, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga dimaklumkan berita kehilangan anaknya itu oleh Mohd Yusof.
Menurutnya, sepanjang kehilangan anaknya itu, dia bersama-sama suami, Ahmad Rozi Latimin, 64, yang tinggal di Pasir Mas, Kelantan, telah membuat ujian DNA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan IPD Alor Gajah.
Meskipun sedih dengan pemergian arwah, Saleha berkata, mereka sekeluarga pasrah dengan ketentuan ilahi.
“Dia suka bantu orang, kalau orang tu tak ada duit, kadang-kadang dia kata umi (panggilan Istiqomah untuk dirinya) orang tu tak ada duit, bagilah sikit, dengan mak saudara dia pun selalu dia hantar (beri bantuan) bagi bulan-bulan,” ujarnya.
Ahmad Rozi pula memberitahu, jenazah arwah akan dibawa balik dan dikebumikan di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, dalam masa terdekat.11:31 AM
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast