KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempersiapkan beberapa kerangka baharu dalam meningkatkan prestasi atlet negara pada masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seluruh rakyat perlu menerima dengan baik pencapaian negara pada Sukan Olimpik di Paris yang baru berakhir.
Ujar beliau, seluruh pihak yang terlibat dalam temasya sukan terbesar dunia itu khususnya atlet dan olahragawan negara telah berusaha dan melakukan sebaik mungkin.
“Saya nak ucapkan tahniah kepada yang terlibat dalam Sukan Olimpik, mereka telah berusaha dengan sebaik mungkin.
“Kita harus terima baik keputusan dan dengan harapan insya-Allah untuk masa depan, kita akan siapkan beberapa kerangka baharu untuk meningkatkan prestasi olahragawan dalam negara. Jadi harus kita tumpu ke depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2024, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berharap seluruh rakyat tidak mengeluh dengan prestasi yang dicatatkan atlet negara sepanjang Sukan Olimpik tersebut.
“Janganlah kita mengeluh kerana olahragawan kita telah berusaha sedaya upaya mereka, melakukan pengorbanan dengan (masa) lama, ada yang catat kejayaan dan ada yang kurang,” katanya.
Malaysia menutup cabaran di Sukan Olimpik, Paris dengan hanya meraih dua gangsa, yang mana disifatkan banyak pihak antara prestasi terburuk pernah dicatatkan sepanjang penyertaan negara dalam temasya sukan empat tahun sekali itu.
Dua pingat gangsa itu disumbangkan oleh kem badminton negara iaitu masing-masing menerusi pemain perseorangan, Lee Zi Jia serta gandingan beregu, Aaron Chia – Soh Wooi Yik. – MalaysiaGazette