Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menerima kunjungan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di Menara MITI, pagi tadi. - Foto: FB Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Malaysia komited untuk membantu Palestin membangunkan semula ekonominya yang lumpuh, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagi tujuan itu, Jemaah Menteri bersetuju supaya Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama perdagangan dan ekonomi dengan Palestin.

Ujarnya, MoU itu akan ditandatangani beliau bagi pihak Kerajaan Malaysia bersama rakan sejawatnya dari Palestin.

“Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Palestin pada tahun 2023 telah mencatat peningkatan sebanyak 52.1 peratus iaitu sebanyak RM20.8 juta berbanding tahun 2022.

“MoU ini insya-Allah akan meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul menerima kunjungan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di Menara MITI pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau menambah, Malaysia juga akan menubuhkan Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-Palestin (Malaysia-Palestine Joint Business Council) untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan komuniti perniagaan kedua-dua negara.

“Segala usaha ini mencerminkan sokongan Malaysia terhadap usaha pembangunan dan kesejahteraan rakyat Palestin.

“Kerajaan komited menyokong perjuangan rakyat Palestin dan akan terus bekerjasama dengan negara-negara sahabat untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi isu Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette