bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Pergolakan di Wall Street menyebabkan kesan diterima di Malaysia, yang menyaksikan pelabur asing melupuskan sejumlah RM768.4 juta.

Pelabur asing menjual ekuiti di Bursa Malaysia setiap hari minggu lepas, dengan aliran keluar bersih terbesar masing-masing pada hari Isnin dan Khamis pada RM336.1 juta dan RM226.7 juta.

MIDF Research berkata, terdapat hanya tiga sektor yang dibeli oleh pelabur asing minggu lepas.

Ia adalah sektor telekomunikasi & media (RM10.0 juta), penjagaan kesihatan (RM8.6 juta) dan perladangan (RM7.1 juta).

Tiga sektor teratas yang dijual bersih oleh pelabur asing ialah pengguna produk & perkhidmatan (-RM151.8 juta), hartanah (-RM149.5 juta) dan teknologi (-RM120.2 juta).

Dalam pada itu, pelabur institusi tempatan pula mengadakan aktiviti ‘membeli-belah’ minggu lepas, dengan belian bersih mencecah RM1.19 bilion.

Mereka membeli bersih setiap hari minggu lepas, dengan jumlah belian bersih terbesar pada hari Isnin pada RM545.8 juta.

Ini merupakan jumlah belian bersih terbesar dalam sehari sejak 2018, apabila mereka membeli bersih RM846.3 juta pada 6 Februari.

Manakala, penjualan bersih pelabur runcit tempatan sebanyak RM424.6 juta minggu lepas dengan jualan bersih setiap hari.

Hari Isnin menyaksikan jualan bersih paling ‘berat’ kepada RM209.7 juta.

Firma penyelidikan tempatan itu berkata, purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan merentas semua kelas pelabur.

Pelaburan asing menyaksikan lonjakan tertinggi sebanyak 47.4%, diikuti oleh peruncit tempatan pada +47.3% dan pelabur institusi tempatan pada +37.7%. – MalaysiaGazette