Tangkap layar menunjukkan kemalangan membabitkan sebuah MPV dengan penunggang motosikal di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berhenti di lorong kecemasan untuk menukar pemandu dipercayai menjadi punca seorang penunggang motosikal terkorban dalam kejadian di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Seberang Perai dekat sini, semalam.

Kejadian jam 6.35 petang itu mengakibatkan lelaki berusia 38 tahun itu maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan ke Butterworth manakala serta pemandu Perodua Alza berusia 22 tahun itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Jelas beliau, ketika kejadian masing-masing memandu di lorong kiri jambatan tersebut.

“Bagaimanapun, pemandu MPV tersebut tiba-tiba memasuki lorong kecemasan sekali gus berlaku pelanggaran menyebabkan mangsa terjatuh daripada motosikal ditungganginya.

“Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

“Susulan itu, pemandu MPV berkenaan ditahan bagi membantu siasatan namun dibebaskan dengan jaminan selepas pegawai penyiasat selesai prosedur siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Razlam, proses bedah siasat mangsa akan dijalankan hari ini di Hospital Pulau Pinang bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular rakaman video papan pemuka (dashcam) sebuah kereta menunjukkan sebuah MPV jenis Perodua Alza berwarna putih dikatakan memasuki lorong kecemasan secara mengejut hingga mengakibatkan berlaku pelanggaran dengan penunggang sebuah motosikal. – MalaysiaGazette