DATUK Seri Anwar Ibrahim pada majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2024, di KLCC, hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat seperti dilaporkan sebuah portal berita awal hari ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu dan hanya diberitahu mengenainya hari ini.

“Saya baru diberitahu, saya tak ada dengar lagi, siapa yang nak ‘tolong’ reshuflle (rombak)? ‘Seriously’ saya tak ada dengar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2024, di sini, hari ini.

Ditanya lebih lanjut berkenaan akan ada Menteri Besar yang dinaikkan pangkat sebagai Menteri dalam rombakan Kabinet seperti didakwa menerusi laporan itu, Anwar hanya menjawab: “Boleh jadi, lepas pilihan raya, insya-Allah.”

Dalam pada itu, Anwar sempat mengingatkan wartawan supaya tidak mempercayai desas-desus rombakan Kabinet berkenaan selepas beliau dimaklumkan laporannya adalah berdasarkan sumber.

“Kalau begitu jangan percaya ‘dong’,” katanya berseloroh.

Awal hari ini, sebuah portal berita melaporkan, satu lagi rombakan Jemaah Menteri dikatakan bakal berlaku menjelang akhir bulan ini.

Laporan itu memetik dua sumber yang didakwa mengetahui mengenai perkembangan tersebut dengan satu sumber berpengaruh PKR berkata, seorang menteri dari parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan dari Jemaah Menteri.

Tambah laporan itu, seorang Menteri Besar dipercayai akan mengambil jawatan menteri iaitu langkah yang dibincangkan sebelum rombakan Jemaah Menteri pada Disember lalu.

Sementara itu, dakwa laporan tersebut lagi, satu sumber korporat berkata seorang menteri memberikan alasan rombakan yang akan berlaku sebagai sebab pembatalan kehadiran menteri itu di satu acara syarikat bulan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast