KUALA LUMPUR – Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan lebih bagus dan mampu memberikan pencapaian jauh lebih cemerlang pada Sukan Olimpik 2028 Los Angeles.
Rakan sepasukan, Datuk Azizulhasni Awang berkata, adalah penting untuk menggunakan masa yang ada selama empat tahun dari sekarang sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri ke temasya tersebut.
“Mungkin bunyinya terlalu awal akan tetapi itulah realitinya apabila kita bergelumang di peringkat tertinggi ini,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Semalam, pada aksi final itu, Muhammad Shah Firdaus tampil dengan kayuhan memukau untuk berada pada kedudukan gangsa sebelum terjatuh pada 250 meter terakhir bersama dua pelumba lain iaitu Shinji Nakano dan Jack Carlin.
Pada perlumbaan tersebut pelumba negara berusia 28 tahun itu menduduki tempat keempat.
Bagi Azizulhasni, episod hitam menimpanya apabila penyertaan acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dibatalkan.
Sandaran terakhir kontinjen Malaysia untuk meraih pingat emas pertama Olimpik itu terpaksa membayar harga yang cukup mahal apabila tersingkir awal susulan tindakannya melintas derny (motosikal berkuasa elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek semasa saringan satu pusingan pertama.
Beliau yang mengucapkan tahniah pada Shah Firdaus berkata, untuk memasuki pusingan akhir acara Keirin pada Sukan Olimpik bukanlah sesuatu yang mudah.
Menurut Azizulhasni, ketika temasya Sukan Olimpik di Tokyo tiga tahun lalu, Muhammad Firdaus Shah terkandas pada pusingan suku akhir dan penampilan di Paris menunjukkan peningkatan apabila beliau layak ke final yang mana ia merupakan merupakan prestasi yang amat cemerlang.
“Memasuki baki 100 meter perlumbaan, Shah datang dengan kelajuan yang meyakinkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa namun berlaku himpitan di selekoh terakhir yang menyebabkan beliau jatuh,” ujarnya.
Tambah beliau, ia merupakan persembahan yang semua warga Malaysia perlu bangga dan beliau berharap Shah akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa untuk terus kekal cemerlang di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette