Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar mengimbas kad perakam waktu pada sesi ‘clock in’ selepas dilantik sebagai KSN yang baharu, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2024

PUTRAJAYA – Menjalankan tugas dengan tata kelola yang baik merupakan agenda utama Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dalam mengemudi penjawat awam.

Katanya, ia seiring dengan fokus dan yang sering diperjuangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Seperti mana yang dibawa oleh Perdana Menteri yang amat mementingkan tata kelola, dan itu merupakan salah satu agenda penting saya dalam mentadbir,” katanya.

Terdahulu, Shamsul Azri memulakan tugas sebagai KSN dengan mengimbas perakam waktu masuk di bangunan Perdana Putra pada jam 8.54 pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau berharap supaya penjawat awam dapat memberikan taat setia dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang demi pembangunan negara.

Selain itu, Shamsul Azri berkata, penjawat awam perlu menjadi benteng kepada negara.

“Di kesempatan ini saya merayu dan memohon semua marilah kita bekerja bersama-sama saya demi rakyat dan negara membangunkan negara tercinta.

“Saya yakin dengan jentera kerajaan yang ada, kita dapat memberi perkhidmatan yang baik untuk rakyat  dengan kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya yakin dengan kepimpinan beliau, boleh membawa Malaysia ke arah yang lebih cemerlang,” tambah beliau.

Shamsul Azri dilantik menjadi KSN baharu menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang menamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa 11 Ogos.

Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Shamsul, 55, berkelulusan ljazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.

Beliau juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).-MalaysiaGazette