1,000 pokok getah tempatan untuk menghasilkan sebuah tilam bersaiz king.

KUALA LUMPUR – Getha Bedding (M) Sdn. Bhd. (Getha) memerlukan 1,000 pokok getah tempatan untuk menghasilkan sebuah tilam bersaiz king yang membuktikan hubungan rapat dan sokongan syarikat itu terhadap industri getah di negara ini.

Ketua Bahagian Perkongsian Strategik Getha, Lim Seng Yu berkata, dengan menggunakan 100 peratus getah asli keluaran Malaysia, pihaknya menyumbang kepada pengurusan lestari ladang pokok getah bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan industri penting itu.

Menurut beliau, menggabungkan keselesaan dengan kelestarian adalah asas legasi syarikat sejak beroperasi 1969 dan Getha komited untuk mencipta penyelesaian tilam yang bukan sahaja mewah tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta membantu sektor perladangan komoditi yang terlibat.

“Dengan lebih lima dekad kepakaran, Getha yang diambil daripada perkataan Melayu iaitu  ‘getah’ telah memacu jenama tersebut sebagai peneraju dalam pembuatan tilam mewah dan mesra alam melalui penggunaan 100 peratus getah asli.

“Setakat tahun ini, Malaysia merupakan antara pengeluar utama getah asli di peringkat global dengan menyumbang kira-kira 400,000 hingga 450,000 metrik tan setiap tahun.

“Getha memainkan peranan penting dalam industri ini dengan polisi mereka yang mementingkan penggunaan getah asli tempatan, sekali gus menyokong sektor getah di negara ini, menyumbang kepada pembangunan luar bandar dan mempromosikan pengurusan ladang pokok getah yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Komitmen Getha terhadap kualiti dan kelestarian itu telah mendorong perluasan jenama tersebut ke lebih 30 buah negara, termasuk Australia, Korea Selatan, Thailand, Jepun, New Zealand, Arab Saudi, Sepanyol.

Pameran Getha di pusat beli belah 1 Utama adalah usaha berterusan untuk kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Kehadiran jenama tersebut dalam skala global membolehkan Getha mempromosikan kepakaran pembuatan produk Malaysia dan hasil getah asli negara, sambil memperkukuhkan reputasi antarabangsa Malaysia dalam amalan kelestarian.

Baru-baru ini, Getha telah melancarkan Pameran Getha di pusat beli belah 1 Utama dalam usaha berterusan untuk kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Pameran itu menawarkan peluang unik untuk orang ramai melihat dengan lebih dekat produk dan menjiwai warisan jenama ini.

Ia juga menampilkan pelbagai rangkaian produk Getha,yang dihasilkan dengan teliti dan mencerminkan kualiti dan perhatian yang luar biasa terhadap perincian yang sinonim dengan jenama ini. – MalaysiaGazette