KUALA LUMPUR – Agrobank membuka semula cawangan di Spaoh, Sarawak sebagai sebahagian komitmen untuk meningkatkan servis perbankan di kawasan luar bandar.

Inisiatif ini adalah komponen utama strategi Agrobank untuk meluaskan dan menaik taraf perkhidmatannya di seluruh negeri Sarawak, dalam masa yang sama mengukuhkan dedikasi kepada komuniti luar bandar dan sektor pertanian.

Pembukaan semula Agrobank cawangan Spaoh bertujuan untuk mengetengahkan keperluan perbankan bagi penduduk dan usahawan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan di kawasan tersebut.

Penutupan cawangan Spaoh adalah satu keperluan untuk pengubah suaian pejabat daerah yang lama kepada Agensi Pembangunan Betong.

Selaras dengan hal ini, Agrobank telah mengenal pasti kawasan baharu yang sesuai untuk memenuhi keperluan pembiayaan yang ditawarkan.

Sempena program “Road to MAHA 2024 @ Sarawak” yang diadakan baru-baru ini di Miri pada 8 hingga 11 Ogos 2024, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengamanahkan Agrobank untuk menguruskan sebanyak RM6.23 juta peruntukan dana melalui pelbagai program.

Dana peruntukan yang disalurkan kepada Agrobank akan diagihkan melalui pelbagai inisiatif termasuk Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM), Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA) dan Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA).

Tanggungjawab yang digalas Agrobank ini membuktikan keyakinan pihak kerajaan terhadap kepakaran dan kebolehan Agrobank untuk menguruskan dan mengagihkan dana secara efektif serta menyokong sektor pertanian di Sarawak.

Inisiatif ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan indsutri agromakanan negeri Sarawak dan menyokong usahawan tempatan dalam usaha mereka menceburi sector pertanian.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, setakat Julai 2024, Agrobank telah meluluskan dana pembiayaan sebanyak RM95.4 juta di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak, yang memberi manfaat kepada 2,758 orang peserta.

“Skim ini dan rancangan pembukaan cawangan kami menunjukkan pendekatan yang holistik untuk menyokong pembangunan negeri Sarawak. Usaha-usaha ini dibina atas dasar komitmen berterusan Agrobank kepada Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette