SEPANG – Sehingga ke saat ini, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang masih belum dapat hadam kenapa dirinya tersingkir daripada saringan pertama keirin selepas penyertaannya dibatalkan di Olimpik Paris 2024 pada Sabtu yang lalu.
Bagaimanapun beliau akan cuba menerima takdir tersebut dengan hati yang terbuka.
“Saya pun tidak pasti kenapa pengakhiran begini kali ini memang di peringkat awal lagi saya amat gembira dengan semua yang kita ada sebab daripada segi persiapan memang tidak ada apa-apa lagi yang saya minta dengan sokongan daripada MSN (Majlis Sukan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan),” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jelas beliau terserlah kekecewaannya apabila pemilik gelaran The Pocket Rocketman itu akhirnya gagal menahan air matanya.
“Hidup mati saya memang untuk sukan untuk Malaysia seluruh rakyat semua pihak banyak membantu berada di belakang saya sejak awal karier sampai sekarang saya tidak tahu nak berterima kasih kepada semua.
“Kalau saya kalah, bila saya dapat mengekspresikan tenaga saya saya boleh terima. Tapi sebab saya tidak dapat buat apa-apa memang tidak tahu nak cakap macam mana perasaan itu.
“Sebagai atlet kita makan tidur, hidup memang untuk sukan bahkan saya sendiri pun letakkan keluarga saya nombor dua apa-apa saya dahulukan sukan saya cuti saya buat latihan. Saya tidak tahu apa nak cakap untuk masa depan,” tambahnya.
Sementara itu, Azizulhasni berkata masih memerlukan masa untuk mempertimbangkan keputusan sama ada meneruskan karier sukannya ataupun sebaliknya.
Ujarnya, perkara itu perlu dibincang bersama-sama keluarganya terlebih dahulu.
“Memang pasukan saya berharap untuk pertimbang untuk teruskan sampai Olimpik LA 2027 tapi saya perlu masa untuk bincang dengan keluarga, tenangkan fikiran saya sebab apa yang berlaku ini memang suatu yang bukan biasa untuk karier saya.
“Mereka tahu, kalau saya bersara pun saya masih akan aktif juga dalam sukan untuk berbasikal paling penting kalau mereka memerlukan bantuan saya, Insya-Allah saya boleh pertimbang tapi buat masa sekarang saya perlukan masa… Saya terkilan dengan apa yang berlaku dan saya perlukan masa sekarang,” ujarnya.
Terdahulu, Azizulhasni memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal membawa pulang pingat emas daripada skuad berbasikal dalam Olimpik Paris 2024 kali ini.
Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula akan menyokong apa juga keputusan rakan seperjuangannya itu.
Sebagai rekod, hasrat Azizulhasni untuk menghadiahkan emas Olimpik pertama negara lebur apabila tersingkir daripada saringan pertama keirin selepas penyertaannya dibatalkan kerana didakwa memintas pacer terlalu awal pada aksi di Velodrom Saint Quentin en Yvelines, Sabtu lalu.- MalaysiaGazette