GOBIND Singh Deo ketika bercakap kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Kementerian Digital Bersama Pemegang Taruh Bagi Cadangan Inisiatif Belanjawan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Digital akan mencadangkan beberapa insentif untuk membantu sektor industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital dalam memperkaskaan perniagaan mereka.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, antara yang dicadangkan termasuk pengecualian cukai tertentu dan beberapa insentif lain yang dapat menyokong pihak industri beralih kepada teknologi digital.

Menurut beliau, kemudahan infrastruktur digital yang disediakan oleh kerajaan ketika ini tidak akan memberi sebarang makna sekiranya tiada sokongan diberikan kepada pihak industri untuk menggunakan teknologi tersebut.

“Dalam kita memastikan infrastruktur yang kita ada itu meluas, boleh diguna pakai oleh seluruh rakyat, saya juga faham adalah perlu untuk kita berikan insentif bagi memastikan semua perniagaan dapat menggunakan infrastruktur itu dan seterusnya kita akan lihat ekonomi digital kita akan bergerak ke hadapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Gobind menghadiri Sesi Libat Urus Kementerian Digital Bersama Pemegang Taruh Bagi Cadangan Inisiatif Belanjawan 2025, yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Dalam pada itu, tambah Gobind, aspek lain yang turut akan dibawa untuk pertimbangan dalam Belanjawan 2025 bagi kementeriannya juga adalah berkenaan pembangunan bakat atau tenaga kerja yang dapat menyokong kepada peralihan ekonomi digital pada masa depan.

Menurut beliau, antara yang diberi tumpuan adalah pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Digital Vokasional (DVET) yang membuka peluang kepada lepasan sekolah untuk menyambung pelajaran atau menjalani latihan industri berkaitan teknologi digital.

Selain itu, katanya, aspek lain yang akan dilihat adalah sama ada kerajaan dapat memberi insentif kewangan dalam menggalakkan pihak industri untuk mengambil pekerja atau lepasan pelajar bagi mempertingkatkan kemahiran mereka dalam bidang ekonomi digital.

“Ini bagi memastikan dalam kita bergerak ke depan serta dengan peningkatan permintaan kepada tenaga kerja dalam ekonomi digital, kita mempunyai bakat atau tenaga kerja mencukupi untuk memenuhi aspek-aspek pekerjaan itu,” katanya.  – MalaysiaGazette