KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) akan mewakili Kerajaan Perpaduan bag Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor pada 28 September depan.

TImbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan bersiap siaga untuk menghadapi PRK itu kerana kerusi terbabit diperuntukkan kepada parti gabungan itu.

Beliau yang juga Pengerusi BN memberitahu, parti itu akan mengadakan perbincangan Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan membawa keputusan ke dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

“Lazimnya persefahaman yang menjadi formula Kerajaan Perpaduan ialah kerusi-kerusi yang diwakili oleh mana parti dalam Kerajaan Perpaduan itu harus diserahkan atau ditandingi semula oleh parti berkenaan.

“Jadi saya tidak mahu kenyataan-kenyataan dikeluarkan mana-mana pemimpin besar atau kecil, menuntut mana-mana kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu untuk dituntut atau mengeluarkan kenyataan yang akhirnya menimbulkan persepsi yang sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SE-MPUPK) Bilangan 3 Tahun 2024 di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya yang menetapkan 28 September depan sebagai hari mengundi bagi PRN DUN Mahkota manakala hari penamaaan calon pada 14 September ini.

Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka ekoran kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Seramai 66,318 pengundi kawasan itu layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun yang dikemaskini sehingga 2 Ogos lalu.

Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon Barisan Nasional menang kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Ini merupakan PRK kesepuluh selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (Johor); DUN Pelangai (Pahang); DUN Jepak (Sarawak); Parlimen Kemaman (Terengganu), DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan terakhir adalah PRK DUN Nenggiri, Kelantan. – MalaysiaGazette