SHAH ALAM – Seorang Guru Besar sebuah sekolah kebangsaan di Petaling Jaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memalsukan dokumen pada lima tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Azatulakmal Abd Razak, 54 pada tahun 2019 memalsukan Borang Akuan Penerimaan atau Penolakan Pembayaran Bantuan Awal Persekolahan 2019 Peringkat Sekolah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.
Jika didapati bersalah, wanita tersebut berdepan hukuman penjara dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pegawai pendakwa Mohd Alimi Mustapha mencadangkan supaya mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan ekoran diisytiharkan bankrup.
“Saya kini menjaga ibu dan adik yang mempunyai sakit mental dan saya diisytiharkan bankrup oleh Jabatan Insolvensi. Jadi saya tidak mampu membuat pinjaman. Selain itu anak saya dua orang bekerja dan mempunyai tanggungan sendiri,” katanya.
Setelah mempertimbangkan rayuan, Hakim Datuk Anita Harun menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada tertuduh.
Dalam masa yang sama, tertuduh diarahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes berkenaan selesai.
Selain itu, wanita itu juga diarahkan melaporkan diri kepada pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.
Sementara itu, sebutan kes ditetapkan pada 17 September 2024.-MalaysiaGazette