JOHOR BAHRU – Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menerima suapan bernilai RM 33,870.10 pada November 2022 dan Januari tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Aziz Hussin, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Aziz yang masih mengajar di sebuah sekolah di Batu Pahat didakwa telah diberi suatu suapan daripada dua individu berbeza termasuk seorang pemilik syarikat dengan nilai keseluruhan RM 33,870.10, yang mana tertuduh gagal melaporkan pemberian itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kesemua pertuduhan dilakukan disebuah bank di Jalan Niaga, Kota Tinggi pada 9 November 2022 dan 17 Januari 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dijatuhkan hukuman di bawah seksyen 25(2) akta yang sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling manakala tertuduh diwakili Peguam, Mohd Razak Sharif.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun mencadangkan jumlah RM30,000 untuk kesemua pertuduhan, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.
Bagaimanapun, Mohd Razak memohon agar cadangan jaminan dikurangkan, ekoran tertuduh mempunyai lapan anak yang mana enam daripadanya masih belajar di universiti, sekolah menengah dan sekolah rendah.
Selain itu tertuduh juga menanggung nafkah kedua ibu bapanya yang uzur.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan, passport diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Batu Pahat.
Sebutan semula ditetapkan pada 8 September depan untuk serahan dokumen.- MalaysiaGazette