Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

SEPANG – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kontijen negara belum berjaya membawa pulang pingat emas daripada Sukan Olimpik Paris 2024.

Katanya, seperti yang diumumkan sebelum ini Road To Gold (RTG) ditubuhkan untuk dua sukan olimpik iaitu Olimpik Paris 2024 dan Olimpik LA pada 2028.

“Kita meminta maaf kerana belum berjaya saya tidak guna perkataan gagal kerana RTG untuk dua Olimpik selepas penubuhan tahun lepas satu tahun setengah.

“Kita belum berjaya mendapatkan pingat emas pertama,” katanya ketika sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas tiba bersama dengan skuad berbasikal Olimpik Paris.

Walaupun belum berjaya membawa pulang pingat emas namun Hannah berkata, terdapat peningkatan prestasi para atlet di bawah RTG kali ini berdasarkan rekod antarabangsa dan peribadi mereka masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain bermesyuarat, Jawatankausa RTG akan melaksanakan audit perbelanjaan keperluan yang digunakan untuk keperluan jurulatih dan  para atlet sebelum berangkat ke Paris.

“Kita juga sediakan akaun yang akan diaudit dan saya akan bentangkan sendiri di Parlimen kita akan jawab isu mengenai akaun yang kita gunakan secara untuk top up service.

“Semua top up yang diminta oleh pemegang taruh kita iaitu jurulatih dan atlet RTG telah kita tunaikan sebelum mereka ke sana,” jelasnya. – MalaysiaGazette