Pengarah filem Harimau Malaya, Datuk Afdlin Shauki bercakap kepada wartawan ketika sidang media pada sesi tayangan perdana di GSC Starling Mall, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Menjadikan kisah benar sebagai inspirasi, nashkah terbaru daripada pengarah terkenal tanah air, Datuk Afdlin Shauki iaitu filem berjudul Harimau Malaya: The Untold Journey bakal ditayangkan pada 15 Ogos ini.

Filem terbitan 4wards Pictures Sdn Bhd itu memaparkan kisah perjuangan skuad Harimau Malaya selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatannya selaku pengendali pada Januari 2022.

Seterusnya, ia mengisarkan permulaan era bekas ketua jurulatih, Kim Pan Gon di peringkat kelayakan sehingga menempah tiket ke Piala Asia 2022 secara merit selepas penantian 42 tahun.

Filem mengangkat kisah pasukan bola sepak kebangsaan itu diolah dalam bentuk fiksyen dengan sedikit penambahan bagi mencantikkan jalan cerita biarpun tidak 100 peratus dibikin berdasarkan cerita sebenar dan karakter asal pemain negara.

 

Pelakon, Meerqeen bergambar pada Tayangan Perdana Harimau Malaya di GSC Starling Mall, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2024

Karya itu membariskan pelakon seperti Meerqeen, Sophia Albarakbah, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Amelia Henderson, Nam Ron, Bell Ngasri, Kavin Jay dan Douglas Lim.

Bagi Meerqeen, dia tidak berfikir panjang menerima tawaran watak sebagai Rashdan iaitu seorang pemain bola profesional.

Lebih mengujakan, pemilik nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam akui teruja dapat berlakon bersama pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

“Selain itu, saya juga turut berdepan kecederaan pada bahagian buku lali pada hari terakhir penggambaran namun ia tidak mematahkan semangat kerana sudah lama saya menanti karakter berkait sukan yang diminati.

“Malah saya juga berperang mulut dengan seorang pelakon lain kerana kami semua penat kerana menjalani penggambaran di padang itu selama lebih seminggu apatah Harimau Malaya mengumpulkan 22 lelaki,” katanya yang sudah lama mengagumi Afdlin.

Pelakon, Aidil Aziz (kiri) dan Meerqeen pada sesi Tayangan Perdana Harimau Malaya di GSC Starling Mall, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2024

Bagi pelakon Aidil Aziz, bukan mudah untuk beliau membawa watak sebagai Taufik yang merupakan kapten pasukan Harimau Malaya.

“Taufik merupakan pemain yang sangat berdisiplin, tegas dan bertanggungjawab terhadap pasukannya sama ada di padang atau luar padand dan diau mahu membawa Malaysia layak ke Piala AFC.

“Namun disebabkan dia mengalami kecederaan, dia banyak meminta rakan sepasukan terus fokus agar dapat layak ke Piala AFC,” katanya yang terpaksa diet untuk kelihatan fit sebagai pemain bola sepak.

Suami kepada pelakon Fasha Sandha bagaimanapun mengakui seronok berlakon dalam filem itu walaupun seharian bermain bola sama ada berpanas, berhujan dan bersengkang mata kerana penggambaran biasanya bermula pada pukul 7 malam hingga ke 6 pagi.

Pelakon, Sophia Albarakbah pada sesi Tayangan Perdana Harimau Malaya di GSC Starling Mall, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2024

Sementara itu, Sophia berkata, dia sanggup belajar tentang bola semata-mata untuk filem tersebut demi memenuhi impiannya sejak sekian lama yang mahu berlakon di bawah Afdlin.

“Sejujurnya saya tak tahu apa-apa pasal bola dan saya ambil watak ini sebab barisan pelakon dan pengarah,” katanya yang memegang watak Karina seorang artis yang juga teman wanita kepada salah seorang pemain bola.

Filem Harimau Malaya menjalani penggambaran dilakukan selama 45 hari termasuk di London, England.

Ia menggunakan skrin biru ketika penggambaran di Stadium Cheras bagi mendapatkan visual Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan lebih 30 peratus teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) dimasukkan. – MalaysiaGazette

Pengarah filem Harimau Malaya, Datuk Afdlin Shauki bercakap kepada wartawan ketika sidang media pada sesi tayangan perdana di GSC Starling Mall, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2024