PASIR GUDANG – Ibu kepada guru wanita yang mayatnya ditemui tanpa kepala, tangan dan kaki di Alor Gajah, Melaka pada Disember lalu, pernah bermimpi anaknya itu pulang ke rumah.
Saleha Ya, 58, bermimpi ketika Istiqomah Ahmad Rozi, 34, tidak pulang ke rumah selama beberapa minggu dan perasaannya amat risau memikirkan keselamatan anak sulung daripada dua beradik itu.
“Apa yang aneh tentang mimpi tersebut arwah yang dikenali sebagai cikgu Istiqomah pulang ke rumah dengan didampingi mereka yang telah meninggal dunia.
“Pada masa awal-awal kehilangan Istiqomah, saya sangat risau akan keselamatan dia dan rindu nak dia kembali ke pangkuan keluarga, mungkin sebab itu yang terbawa-bawa ke dalam mimpi.
“Dua kali arwah datang dalam mimpi saya. Saya mimpi dia pulang ke rumah. Kali pertama dia dihantar pulang oleh kakak ipar saya dan kali kedua bekas bos saya yang hantar dia pulang.
“Kedua-dua insan ini telah lama meninggal dunia, tertanya-tanya juga kenapa mereka yang hantar dia, jauh di sudut hati saya berharap dia selamat dan masih hidup,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Pada 26 Disember lalu, arwah yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, di sini tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja.
Sehari selepas itu, pihak polis menerima laporan berhubung kehilangannya dan hasil siasatan dijalankan menemukan kereta milik wanita itu di sebuah pasar raya terkemuka di bandar raya ini.
Pada 28 Disember, berita mengenai kehilangan Istiqomah mula tular dan suaminya, Mohd Yusof Mokhtar, 35, menyatakan sudah mengusahakan pelbagai cara untuk mengesan isterinya termasuk mendapatkan khidmat perubatan Islam.
Pada 6 Januari lalu, media melaporkan seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemui disumbat dalam tong sampah dan dibuang dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, pada 31 Disember lalu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tidak lengkap ditemui di Alor Gajah dikenal pasti sebagai Istiqomah hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan.
Bercerita lanjut, Saleha berkata, dia tidak menyangka mimpi tersebut merupakan petanda anaknya itu pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.
Katanya, lidahnya kelu tidak dapat berkata-kata apabila dimaklumkan pihak polis bahawa mayat wanita yang diperlaku tanpa perikemanusiaan itu adalah anaknya yang hilang sejak lapan bulan lalu.
Bercakap mengenai keperibadian anak perempuannya itu, Saleha berkata, arwah merupakan seorang anak yang penyayang dan baik malah tidak ada perangai.
Dia mengakui masih terngiang-ngiang kata-kata terakhir arwah yang selamanya menjadi memori duka buatnya.
“Semasa bercuti bersama-sama keluarga arwah di Morib, Selangor pada 24 Disember lalu, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda perubahan pada dirinya.
“Semasa di akhir perjumpaan, arwah ada cakap ‘jumpa lagi hari raya nanti’, tidak sangka pula itu adalah pertemuan terakhir kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette