JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan kaunselor untuk bertemu tiga anak kepada guru wanita yang mayatnya ditemui tanpa kepala, Istiqomah Ahmad Rozi, 33.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, usaha berkenaan untuk membantu anak-anak mangsa berdepan situasi sukar itu.
“Kami bertemu dengan ibu bapa arwah serta suami dan dua daripada tiga anak-anaknya. Perbualan dengan ahli keluarga menceritakan semula kejadian dan kesedihan yang amat mendalam, menyentuh hati kami.
“Anak-anak arwah yang masih kecil kini memerlukan sokongan moral dan mental untuk menghadapi masa depan yang penuh cabaran tanpa ibu mereka,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.
Khairin-Nisa turut berdoa supaya keluarga Istiqomah diberikan ketabahan dan kekuatan jiwa serta berharap keadilan dapat ditegakkan dengan pesalah dihukum secara setimpal dengan perbuatan keji yang dilakukan.
Terdahulu, Khairin-Nisa menyantuni keluarga guru berkenaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, Zai Bajuri; Penolong Pegawai Psikologi JKM Negeri Johor, Mohd Sabree Mohd Salleh dan Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Kartini Sahirin.
Istiqomah dilaporkan hilang pada 26 Disember 2023 sebelum mayat seorang wanita dijumpai di Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember 2023 dan disahkan milik Istiqomah pada semalam hasil ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dilakukan pada mayat berkenaan dengan ibu guru terbabit. – MalaysiaGazette