Kerja-kerja membaik pulih dan membersihkan kolam di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin, di Larkin, Johor Bahru sudah pun dimulakan dan dan jadual siap pada November ini

JOHOR BAHRU – Kerja-kerja membaik pulih dan membersihkan Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di sini yang sebelum ini tercemar dengan bakteria escherichia coli (e-coli) sehingga menyebabkan 19 pelajar dirawat sudah bermula.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, proses itu antaranya melibatkan penukaran sistem anti karat serta penukaran jubin di kolam terjun dan kolam renang.

Menurut beliau, ini turut membabitkan baik pulih bagi memastikan sistem saliran air benar-benar bersih untuk kegunaan para pengguna.

“Syukur Alhamdulillah. Kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih segala fasiliti Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin sedang dilaksanakan.

“Tindakan ini diambil bukan sahaja untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna, tetapi juga untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kualiti dan kebolehpercayaan fasiliti sukan di negeri ini.

“Saya dimaklumkan bahawa kerja-kerja ini dijangka siap sepenuhnya pada November tahun ini dengan pembukaan semula kepada orang awam dijadualkan pada awal Januari 2025.

“Insya-Allah, usaha berterusan akan diambil untuk memastikan semua fasiliti di negeri ini berada dalam keadaan terbaik demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Pusat Akuatik terbabit mula ditutup sejak akhir bulan lalu, selepas 19 pelajar daripada 900 peserta dalam Kejohanan Akuatik MSSJ 2024, dikejarkan ke hospital susulan mengalami muntah-muntah, demam serta kulit gatal dipercayai akibat pencemaran air dalam kolam renang dan kolam terjun di pusat berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast