Mohd Yusoff Mokhtar

MELAKA – Suami Istiqomah Ahmad Rozi, mangsa pembunuhan tragis berkata, fokusnya kini hanya mahu menuntut jenazah isterinya untuk dikebumikan di Pasir Mas, Kelantan selepas lapan bulan kematiannya tidak bernisan.

Selain itu, Mohd Yusoff Mokhtar, 35, mahu memberi keutamaan menjaga emosi anak-anak Naura Auni, 9, Naufal Amzar, 6 dan Nayla Aisya, 4, yang melihat berita kematian mama mereka di televisyen selain saya juga telah menjelaskan kepada mereka.

“Anak sulung terutamanya suka curi-curi tengok gambar arwah kerana dia rindu tapi bila perasan saya melihat tindakannya itu, dia akan sembunyikan gambar kerana tidak mahu saya bersedih,” katanya sebak kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, ada waktunya ketiga-tiga anaknya itu akan termenung, berdiam diri dan membisu mungkin terlalu rindukan arwah.

“Kalau menangis tu, mereka akan panggil mama iaitu panggilan kepada arwah namun saya perlu sembunyikan keperitan hati ini untuk memberi kekuatan kepada anak-anak,” katanya sebak.

Mengulas lanjut mengenai hubungan suspek dan isterinya, Mohd Yusoff berkata, isterinya hanya berkawan dengan lelaki itu di di maktab perguruan sebelum ini.

“Janganlah ditambah kesedihan saya tapi doakanlah saya dan tiga anak-anak yang masih kecil terus kuat mendepani pembunuhan kejam ini,” rayu Mohd Yusoff lagi.

Mayat Istiqomah, 33,  dijumpai dengan kepala, kedua-dua tangan dan kaki dipotong sebelum disumbat ke dalam tong sampah dan dibuang di longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini, 31 Disember lalu.

Polis mengesahkan perkara itu semalam selepas hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan 2 Ogos lalu ke atas ibu seorang wanita yang dilaporkan hilang di Johor pada 27 Disember tahun lalu sepadan dengan mangsa.

MalaysiaGazette semalam mengesahkan hasil risikan pembunuhan kejam itu polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dan isterinya berusia 36 tahun di Chemor, Perak.

Siasatan terhadap kedua-duanya kemudian membawa penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa iaitu tulang jari dan kepala kira-kira enam kilometer dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan.

Susulan itu, suspek yang juga bekas guru itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes.

Perintah reman sehingga Isnin depan terhadap suspek dikeluarkan Majistret Teoh Shu Yee untuk membantu siasatan di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Sebelum ini suspek bersama isterinya berusia 36 tahun direman bermula 6 Ogos sehingga hari ini sebelum isterinya dibebaskan mahkamah semalam selepas didapati tidak terlibat dalam kejadian itu. – MalaysiaGazette