Oplus_0

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak menafikan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) telah memberi impak kepada kenaikan kos pembinaan khusus bahan binaan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun kenaikan itu hanya melibatkan jumlah yang kecil sehingga lapan peratus sahaja.

“Kita kesan memang ada naik tapi tidak secara mendadak. Ada lapan item yang kita pantau, kenaikan bahan binaan itu berbeza-beza mengikut item.

“Bahan binaan yang naik maksimum sehingga lapan peratus sahaja. Kenaikan sedikit sahaja.

“Secara keseluruhan, kenaikan itu tidak mengganggu industri pembinaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KKR di sini hari ini.

Terdahulu Alexander Nanta menghadiri sesi libat urus pada Majlis Dialog KKR bersama lebih 100 penggiat industri pembinaan 2024.

Menurut beliau, pelaksanaan SKDS juga turut menyumbang kepada penurunan beberapa harga bahan binaan sehingga tiga peratus.

“Ada juga harga binaan yang turun macam structure steel menurun hingga tiga peratus semua sekali,” katanya.

Alexander Nanta juga menegaskan, subsidi diesel tidak sepatutnya digunakan oleh kontraktor atau bagi tujuan aktiviti komersial.

“Memang dari asal memang mereka ini tidak layak guna minyak subsidi. Akan tetapi kita dengar juga keluhan di mana ada yang mengatakan bahan binaan ini naik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast