Logo KWSP

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM36.70 bilion bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1H 2024), peningkatan +29% daripada RM28.40 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.

Pendapatan boleh agih ini tidak termasuk keuntungan mark-to-market (MTM) bagi sekuriti yang belum direalisasikan.

Jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi suku kedua (S2 2024) selepas turun nilai kos adalah RM17.50 bilion, naik +25% daripada RM13.98 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, keadaan pasaran yang menggalakkan di Malaysia dan global menyumbang kepada pertumbuhan 29% dalam pendapatan boleh agih pada 1H 2024, manakala aset di bawah pengurusan meningkat kepada RM1.21 trilion.

Pasaran Malaysia telah mendapat manfaat daripada peningkatan sentimen pelabur terhadap dasar berorientasikan pertumbuhan dan pembaharuan fiskal.

Pasaran global seperti AS pula mendapat manfaat daripada keadaan makroekonomi yang kukuh, penurunan inflasi dan jangkaan permulaan kitaran pengurangan kadar faedah.

“Walaupun keadaan pasaran yang agak tenang, risiko dilihat akan kekal berikutan penjualan baru-baru ini dalam pasaran global dan peningkatan mendadak dalam turun naik yang disebabkan oleh peserta pasaran yang melepaskan beberapa kedudukan yang tertumpu dan sesak.

Sebagai pelabur jangka panjang, KWSP akan meneruskan strateginya untuk membina portfolio yang pelbagai didorong oleh alokasi aset strategiknya.

Dalam suku tahun yang dikaji, pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2024 pada RM10.75 bilion selepas turun nilai kos, merangkumi 61% daripada jumlah pendapatan boleh agih pada suku tahun dikaji.

Prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik di pasaran domestik dan pasaran maju global telah memacu pertumbuhan pendapatan berbanding RM7.84 bilion yang dicatatkan pada suku kedua (S2) 2023.

Penurunan nilai bagi tempoh yang dikaji adalah kecil pada RM0.69 bilion, disebabkan pengurusan portfolio aktif oleh pengurus dana dan prestasi pasaran ekuiti keseluruhan yang lebih baik.

Pendapatan tetap terus memberikan aliran pendapatan yang stabil, mengurangkan kesan daripada turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan keseluruhan KWSP.

Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS), serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 33%, atau RM5.72 bilion, kepada jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi S2 2024.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM0.50 bilion, manakala instrumen pasaran wang menjana RM0.53 bilion, sejajar dengan kadar faedah dan keuntungan semasa.

Setakat 30 Jun 2024, aset pelaburan adalah berjumlah RM1,211.53 bilion, yang mana 38% dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

Pada suku kedua, pelaburan luar negara KWSP menjana RM8.64 bilion atau 49% daripada jumlah pendapatan boleh agih yang direkodkan.

KWSP memperuntukkan lebih 80% daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik, dan kekal komited dalam menyokong dan menyumbang ke arah mencapai matlamat yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani.

Daripada jumlah pendapatan boleh agih, RM31.34 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional dan RM5.36 bilion untuk simpanan syariah. – MalaysiaGazette