KUALA LUMPUR – Lafaz cerai yang diucapkan di luar mahkamah termasuk di platform media sosial berkemungkinan sah, namun ia bertentangan dengan undang-undang syariah sedia ada.
Ini kerana, penceraian seperti itu perlu dibawa dan mendapat kebenaran daripada mahkamah syariah terlebih dahulu selain perlu mengikut saluran dan proses yang betul, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurutnya, perkongsian di media sosial yang boleh membuka aib pasangan masing-masing juga tidak sepatutnya berlaku.
“Di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengesahkan penceraian lafaz cerai di luar mahkamah.
“Namun penceraian seperti itu perlu dikenakan denda dan ia merupakan satu kesalahan iaitu boleh didenda tidak lebih RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-dua sekali
“Penceraian itu adalah satu perkara yang dibenci oleh Allah SWT walaupun ia halal. Maknanya kita perlu elakkan.
“Pasangan suami isteri perlu elakkan, ambil peluang, memperbaiki dan mencari jalan pendamaian supaya tidak bercerai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Surau Al-Marjan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda, di sini, hari ini.
Mohd Na’im berkata, sekiranya pasangan suami isteri berkenaan mahu berpisah, penceraian terbabit perlu dilakukan dengan cara yang baik.
“Dalam konteks semasa, bagaimana penceraian yang baik itu berlaku iaitu dengan cara pihak suami atau isteri memfailkan permohonan awal di jabatan agama.
“Di jabatan agama ada unit kaunseling yang akan mendamaikan pasangan suami isteri yang mahu bercerai berkenaan.
“Sekiranya tidak berjaya juga, pasangan berkenaan perlu memfailkan permohonan cerai di mahmakah syariah di bawah Seksyen 47,” ujarnya.
Tambah beliau, mengikut akta berkenaan, kebenaran untuk bercerai dibawah undang-undang terletak dibawah seorang hakim dan hakim berkenaan akan memberikan kebenaran kepada suami atau isteri untuk bercerai
“Penceraian yang sepatutnya perlu membabitkan kuasa agama negeri. Sekiranya isteri tidak bersetuju dengan permohonan penceraian, suami berkenaan akan dibawa kepada jawatankuasa perdamaian dan usaha perdamaian masih dijalankan,” jelasnya.
Terdahulu, tular kisah seorang peniaga kosmetik dalam talian yang diceraikan suaminya dengan talak satu ketika bersiaran langsung di TikTok.
Terbaharu, penyanyi Datuk Nora Ariffin memuat naik video di Instagram yang memaparkan suaminya iaitu Dr Rushdi Ramli melafazkan cerai talak satu terhadap dirinya. – MalaysiaGazette