Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

SUBANG – Seorang daripada empat suspek yang ditahan polis dalam kes samun seorang juruteknik di hadapan sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kesas pada awal pagi 7 Ogos lalu akan dituduh di mahkamah hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya akan mendakwa suspek di Mahkamah Shah Alam, jam 9 pagi ini.

Katanya, tiga lagi suspek dibebaskan polis.

“Polis kemudian menerima arahan untuk menuduh seorang lelaki warga tempatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan khianat dengan cara menghayunkan senjata ke arah kenderaan dan merosakkan kenderaan dipandu mangsa.

“Manakala tiga lagi suspek dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan dalam kes di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini polis menahan empat suspek lelaki berusia 30 hingga 41 tahun dan direman selama 4 hari sehingga 11 Ogos lalu untuk membantu siasatan lanjut polis.

Dalam kejadian awal pagi 7 Ogos lalu, mangsa yang berusia 36 tahun mendakwa dia telah didatangi empat suspek dengan motosikal sebelum menghalang keretanya dan menghayunkan kayu sehingga mengakibatkan cermin sisi kenderaanya pecah. – MalaysiaGazette