Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental ditahan selepas mengamuk menggunakan pisau pemotong daging di Dataran KTMB, Ipoh. Foto Media Sosial

IPOH – Polis menahan seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah mental selepas mengamuk menggunakan sebilah pisau pemotong daging di Dataran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Jalan Dato Panglima Bukit Gantang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 2.45 petang.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, sepasukan anggota polis menemui suspek dalam keadaan mencurigakan sambil memegang sebilah pisau pemotong daging di tangan sebelah kanan di sekitar kawasan berkenaan.

“Pihak polis menghampiri suspek berusia 31 tahun itu dan memintanya untuk melepaskan pisau tersebut namun suspek bertindak agresif dengan melibaskan pisau tersebut beberapa kali ke arah mereka.

“Salah seorang anggota cuba menahan suspek dan telah berlaku pergelutan. Akibat pergelutan itu, anggota terbabit mengalami kecederaan di siku sebelah kiri manakala suspek tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Susulan kejadian itu, anggota polis berusia 35 tahun yang cedera mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, ketika suspek yang tidak bekerja itu ditahan, dia gagal mengemukakan kad pengenalan diri dan hanya memberi butir-butir diri melalui akuan lisan.

Ujar beliau, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sentral untuk tindakan lanjut bersama rampasan sebilah pisau pemotong daging berhulu warna coklat dengan tulisan Cina di bahagian besi.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek mempunyai sembilan rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.

“Suspek dibawa ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) untuk menjalani rawatan awal kerana disyaki mempunyai masalah mental,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Terdahulu, tular di platform media sosial video berdurasi 58 saat memaparkan seorang lelaki tidak berpakaian dan berseluar panjang ditahan polis selepas dipercayai mengamuk menggunakan pisau pemotong daging di Dataran KTMB di sini. – MalaysiaGazette