SHAH ALAM – Seorang lelaki yang tular menghayun kayu dalam cubaan menyamun juruteknik berhampiran sebuah stesen minyakdi Subang Jaya pada minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, G. Nagendaran, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Lelaki berusia 32 tahun itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan cermin kereta jenis Toyota Estima milik seorang wanita berusia 37 tahun dengan nilai kerugian dianggarkan RM100.
Perbuatan itu dilakukan di luar sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Subang Jaya, dekat sini, kira-kira pukul 1 pagi, 7 Ogos lalu.
Beliau dituduh melakukan kesalahan dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Selain itu, Nagendaran turut mengaku tidak bersalah bagi satu pertuduhan lain memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam dirinya di balai polis USJ 8, Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya pada pukul 5 petang, 8 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran menawarkan jaminan keseluruhan RM9,000 bersama seorang penjamin.
Bagaimanapun, Peguam M. Partiben mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan susulan anak guamnnya menanggung isteri dan dua anaknya serta ibu bapa yang uzur.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan keseluruhan RM2,800 bersama seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 12 November depan. -MalaysiaGazette