Mohd Yusof Mokhtar

PASIR GUDANG – Suami kepada Istiqomah Ahmad Rozi, 33, meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi terhadap sebarang pendedahan berkaitan kematian isterinya.

Mohd Yusof Mokhtar, 35, berkata, ini bagi memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden yang menimpa isterinya.

“Saya mohon untuk semua pihak tidak mengganggu siasatan yang polis sedang jalankan.

“Jangan buat spekulasi. Saya juga serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan sewajarnya dalam usaha saya untuk mendapatkan keadilan terhadap apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yusof berkata, keluarganya kini hanya menunggu panggilan dan arahan dari pihak polis bagi menuntut jenazah isterinya untuk dibawa pulang ke kampung halaman isterinya di Pasir Mas, Kelantan.

“Tunggu polis hubungi (untuk tuntut jenazah). Insya-Allah dalam masa terdekat, bawa balik Kelantan,” ujar bapa kepada tiga anak itu.

Mengenai keadaan anaknya yang berusia empat, enam dan sembilan tahun, Mohd Yusof bersyukur anak-anaknya dapat menerima berita mengenai pemergian ibu mereka dengan tenang dan reda.

“Alhamdulillah, semalam, saya ada tunjuk berita di televisyen, mereka dah tahu ibu mereka meninggal dunia. Cuma, saya tahu ada anak saya yang baik-baik sahaja di hadapan saya, tetapi di sekolah mereka lain, mungkin nak rahsiakan perasaan mereka.

“Bila ada yang cakap anak kedua saya bersedih di sekolah, saya ada tanya dia, katanya betul dia sedih sebab dia rindu ibunya,” katanya yang berasal dari Kota Bharu.

Istiqomah dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 26 Disember 2023, sebelum keesokan harinya, keretanya ditemui di parkir sebuah pasar raya di Kota Masai, berhampiran rumahnya.

Pada 31 Disember 2023, satu mayat tanpa kepala ditemui dalam tong sampah di longkang tepi Jalan Alor-Gajah-Tampin, berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka, namun identiti mayat tidak dapat dikenal pasti ketika itu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan hasil siasatan dan ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dijalankan, mayat tanpa kepala itu adalah milik Istiqomah.

Polis menahan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak, pada 5 Ogos lalu dan direman enam hari sehingga semalam, sebelum reman ke atas suspek lelaki disambung selama tujuh hari lagi bermula semalam hingga Sabtu inj bagi melengkapkan siasatan, manakala isterinya dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada kaitan dengan kes.- MalaysiaGazette