MELAKA – Buat julung kalinya, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) akan menganjurkan larian obor merentas negeri selama dua hari sempena acara tahunan global Relay For Life, pada 24 dan 25 Ogos ini.
Pengarah Urusan NCSM, Prof Madya Dr Muralitharan Munisamy berkata, pihaknya menyasarkan seramai 2,000 peserta termasuk kira-kira 20 pejuang kanser menyertai larian sejauh 208 kilometer itu.
“Larian yang menjadi simbolik kepada kebebasan kanser ini dijangka bermula pukul 7 pagi 24 Ogos di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur sebelum berhenti sekitar 7 malam di Seremban melibatkan 46 check point.
“Peserta lain kemudian akan bersilih ganti di 38 check point membawa obor sama meneruskan larian sehingga ke Kolej Universiti Manipal Malaysia Melaka sejauh 98 kilometer,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurutnya, setiap peserta yang membawa obor akan melakukan larian antara satu hingga tujuh kilometer melalui jalan-jalan kampung, pekan dan bandar untuk memberi peluang orang ramai menyertai larian sukarela ini.
“Antara pengisian larian adalah NCSM dengan beberapa rakan kerjasama strategik akan mengedarkan risalah kempen kesedaran dan penjagaan kanser.
“Ini juga bertepatan dengan tujuan acara global Relay For Life ini yang bertujuan menyatukan komuniti untuk meraikan pejuang kanser sekali gus menjadi simbol harapan dan solidariti perjuangan kanser,” katanya.
Menurut Dr Muralitharan, orang ramai yang ingin menyertai larian obor itu boleh mendaftar sebagai peserta melalui laman web relayforlifemalaysia.com atau menghubungi talian 016-5283799.
Melalui laman itu, sukarelawan boleh memilih check point yang hendak disertai untuk membawa obor berkenaan sebelum menyerahkannya kepada pembawa obor lain yang menunggu di lokasi pertemuan seterusnya sehingga ia tamat di Melaka. – MalaysiaGazette