Tertuduh, Mohd Rozaiman Rahmat, 45, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM900 sejak dua tahun lalu.

MELAKA – Seorang pegawai tadbir Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM900 sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Rozaiman Rahmat, 45, membuat pengakuan itu bagi pertuduhan pertama dan ketiga sejurus dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Tetuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah untuk pertuduhan kedua.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh iaitu pegawai tadbir di Unit Penguatkuasaan MPAG didakwa telah menerima suatu balasan iaitu wang tunai berjumlah RM400 dan RM2,000.

Wang berkenana diterima daripada pemilik syarikat pengiklanan, Ong Ah Siong yang mana tertuduh mengetahui individu berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Alor Gajah, Jalan Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah pada 31 Mac dan 6 September 2022.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh sebagai ketua unit di Unit Kutipan Tunggakkan MPAG didapati telah menerima suatu balasan iaitu wang tunai RM500 daripada individu sama di lokasi sama pada 18 April 2023.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dengan denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob mencadangkan denda RM2,000 bagi kesemua pertuduhan dan memohon pertuduhan kedua digugurkan (TIC) berdasarkan Seksyen 171(A) Kanun Tatacara Jenayah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan telah insaf dan menyara isteri serta dua anak yang masih bersekolah termasuk bapa dan ibu mentuanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama dan ketiga atau dua bulan penjara jika gagal bayar sementara pertuduhan kedua digugurkan seperti dipohon pendakwaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast