KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tidak berniat untuk ‘cuci tangan’ ekoran isu kelewatan Fasa 1A Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah susulan pengurusan projek itu dikendalikan pentadbiran terdahulu.
Beliau berkata, ini kerana Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menyerahkan Fasa 1A kepada Kerajaan Negeri Sabah sebagai pelaksana projek infrastruktur itu.
“Walaupun projek Kerajaan Persekutuan tapi kita telah serah kepada pihak di Sabah, di sana ada Kementerian Kerja Raya, JKR Sabah yang dilantik sebagai pelaksana projek.
“Saya bukan kata nak ‘cuci tangan’, tidak, sebab kita secara rasmi sudah menyerahkan kepada mereka sebagai agensi pelaksana.
“Itu Fasa 1A, itu bagi saya itu isu legasi, sebab saya masuk ke KKR awal 2023.
“Kami hanya memantau, sebab itu kami akan kerap kali turun padang membantu mereka, pakej yang sakit ini perlu kita pulihkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KKR di sini hari ini.
Mengikut rekod, projek LPB Sabah melibatkan 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer yang bermula dari sempadan Sabah dan Sarawak di Sindumin hingga ke Tawau telah dimulakan pada Julai 2016.
Menurut Alexander, ketika ini, hanya empat pakej sahaja yang berjaya disiapkan dalam Fasa 1A manakala 11 lagi masih dalam pelaksanaan.
“Dalam pakej 11 itu, ada dua tiga yang jauh ketinggalan jadual, agak sakit sikit. Saya bersama pegawai telah turun padang ke Sabah baru-baru ini, jumpa dengan semua terlibat termasuk Menteri JKR Sabah, Timbalan Menteri JKR Sabah, perunding, kontraktor dan juga agensi-agensi lain.
“Kami pergi ke tapak dan kami berbincang dan saya dapati memang ada kelemahan dari segi penyelarasan kerja-kerja di tapak,” katanya.
Alexander turut memberitahu, projek LPB Fasa 1B di bawah legasi beliau dan mempunyai 15 pakej yang dibuat secara tender secara terbuka.
“Laporan perolehan KKR telah kita sampaikan kepada Kementerian Kewangan sebulan sudah, jadi kita menunggu keputusan dari sana untuk kami susuli dengan tindakan sepatutnya.
“Kami letakkan sasaran (Fasa 1B) pada suku ketiga tahun ini iaitu dari sekarang sampai September untuk mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat-syarikat terpilih.
“Fasa 1B tiada masalah dan sekarang ini berjalani mengikut jadual,” katanya lagi. – MalaysiaGazette