ACP Azli Mohd Noor

KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis bantuan menjadi mangsa penipuan skim pembelian kereta sehingga mengalami kerugian sebanyak RM99,000 menerusi aplikasi Telegram.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa terpedaya dengan tawaran di dalam Telegram dengan nilai harga RM26,000 selepas dihubungi suspek pada 8 Ogos lalu.

”Mangsa telah berhubung dengan suspek untuk pembelian sebuah kenderaan jenis Alza melalui tawaran di dalam Telegram. Kemudian mangsa telah membuat pembayaran ke akaun yang diarahkan.

”Namun setelah itu, pihak penjual meminta lagi bayaran caj tambahan lain bagi mendapatkan kenderaan berkenaan sehingga mengalami kerugian RM99,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun selepas semakan ke atas kenderaan berkenaan, didapati kenderaan tidak wujud dan mangsa berusia 50 tahun itu merasakan dirinya telah ditipu oleh suspek.

Dalam pada itu, Azli berkata, sebanyak 42 laporan diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dalam tempoh seminggu bermula 4 Ogos lalu.

Katanya, ia menunjukkan penurunan sebanyak 15 kes berbanding 57 laporan pada minggu sebelumnya dengan penurunan sebanyak 26.3 peratus.

Daripada jumlah itu, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka membabitkan sebanyak RM145,900 dan kes penipuan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan menjadi penyumbang utama kes jenayah komersil. – MalaysiaGazette