KUALA LUMPUR – Polis telah menerima sebanyak 15 laporan sejak 2016 berhubung penipuan penjualan tanah yang didalangi wanita yang dikenali Siti Aisyah Nasib Ghazali.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu dikatakan terlibat dengan kegiatan penipuan jual beli tanah dengan jumlah kerugian direkodkan mencecah sebanyak RM547,650.
“Bagi menyakinkan mangsa, suspek akan menunjukkan dokumen pembelian tanah tersebut atau mendakwa dia telah memperoleh kuasa mentadbir (power attorney) daripada pemilik asal tanah.
“Percaya dengan dakwaan yang dibuat suspek, mangsa-mangsa akan membuat bayaran bagi membeli lot tanah yang ditawarkan. Kita telah mengenal pasti, enam kawasan di sekitar Selangor telah digunakan suspek dalam tawaran penjualan lot tanah yang dilakukan.
“Sebanyak empat akaun bank digunakan bagi menerima bayaran daripada mangsa dengan tiga daripada akaun didaftarkan atas nama individu termasuk dua daripadanya milik suspek sendiri manakala satu lagi akaun didaftarkan atas nama syarikat suspek iaitu Izz Ikhwan Legacy Sdn Bhd,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ hari ini.
Tambah Ramli, siasatan turut mendedahkan beberapa individu lain turut terlibat dalam kegiatan penipuan yang dilakukan suspek.
“Berikutan itu, suspek dituduh atas bersabit empat kes penipuan penjualan lot tanah dan perbicaraan bagi kesemua kes ini masih berjalan di mahkamah.
“Semalam suspek ditahan di Gombak bersabit satu kes penipuan lot tanah yang didakwa menipu seorang pesara berusia 59 tahun dalam urusan penjualan sebidang tanah hingga mangsa mengalami kerugian RM60,400,” jelasnya.
Berdasarkan laporan polis pada 4 Ogos lalu, mangsa telah menandatangani satu perjanjian jual beli dengan para pemilik-berdaftar tanah surat kuasa yang diberikan kepada suspek.
“Mangsa telah diyakinkan suspek telah membeli keseluruhan tanah tersebut yang berkeluasan 1.62 hektar dan juga dimaklumkan suspek sedang dalam proses permohonan untuk memecahkan tanah tersebut kepada 92 lot individu.
“Bagaimanapun, setelah bayaran dibuat kepada suspek, tiada sebarang pembangunan dibuat terhadap tanah tersebut dan pecah lot juga tidak dilakukan. Sehingga kini hak milik tanah tersebut masih kekal atas nama pemilik asal,” ujarnya.
Tambah Ramli, suspek kini direman selama tiga hari sehingga 14 Ogos untuk siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette