PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota,Johor.
Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka ekoran kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRK DUN tersebut.
“Hari mengundi bagi PRK DUN Mahkota ditetapkan pada 28 September manakala hari penamaaan calon pada 14 September,” katanya dalam sidang media di SPR, hari ini.
Ramlan berkata, tarikh undi awal ditetapkan pada 24 September.
SPR turut menetapkan tempoh 14 hari untuk kempen PRK itu sehingga jam 11.59 malam 27 September.
Seramai 66,318 pengundi kawasan itu layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun yang dikemaskini sehingga 2 Ogos lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 61,397 orang adalah pengundi biasa, dan 4,510 orang anggota tentera dan pasangan serta 401 anggota polis dan 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
“PRK DUN Mahkota melibatkan perbelanjaan RM2.4 juta,” jelas Ramlan lagi.
Ramli berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK DUN Mahkota akan dibuka bermula hari ini.
Tambahnya, suruhanjaya itu melantik seorang pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu empat penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses pilihan raya manakala satu pasukan penguat kuasa ditubuhkan bagi memantau aktiviti berkempen.
“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK terbabit adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan setakat Jun 2024 yang dikemaskini pada 2 Ogos lalu. DPPR ini mengandungi seramai 66, 318 pemilih,” ujarnya.
Pusat penamaan dan pusat penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, Johor.
Pada 4 Ogos lalu, Setiausaha Agung SPR, Datuk Ikmalrudin memaklumkan mesyuarat khas itu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos.
Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota, Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon Barisan Nasional menang kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.
Ini merupakan PRK kesepuluh selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (Johor); DUN Pelangai (Pahang); DUN Jepak (Sarawak); Parlimen Kemaman (Terengganu), DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan terakhir adalah PRK DUN Nenggiri, Kelantan. – MalaysiaGazette