DATUK Seri Noraini Ahmad ketika mengetuai jentera Wanita BN berkempen pada PRK DUN Nenggiri, Gua Musang, Kelantan. - Foto: UMNO Online

KUALA LUMPUR – Tumpuan kepada kebajikan rakyat tidak hanya dilakukan secara bermusim, sebaliknya dilakukan Barisan Nasional (BN) secara konsisten, kata Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Menurut beliau, seperti dipetik portal UMNO Online, segala tohmahan yang mengaitkan kerajaan hanya turun membantu rakyat ketika adanya pilihan raya hanya sekadar bahan kempen pembangkang.

Malah ujarnya, apa yang dijanjikan untuk dibawa pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu juga sudah banyak dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat.

“Mereka takkan rasa puas hati pun… apa juga yang kita buat, kita laksanakan, mereka akan anggap itu semua helah kita untuk mendapat undi dan sebagainya, tapi  kita kena tengok diri kita sendiri.

“Saya tengok calon Pas kata nak bawa beberapa perkara seperti mana manifestonya. Ada satu yang saya tengok, yang fokus adalah mengenai wanita… yang dia cuba nak bawa di Nenggiri sebenarnya banyak dah kita di peringkat kerajaan pusat telah laksanakan.

“Seperti bantuan ibu tunggal… bantuan ibu tunggal sendiri pun, sekiranya layak, kita di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat juga ada memberi bantuan terhadap ibu tunggal, warga-warga emas yang memerlukan termasuklah pelbagai bantuan lain yang telah kita laksanakan dan kita berikan. Itu contoh yang dapat saya berikan,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini berharap pengundi serta masyarakat setempat tidak mudah termakan dengan pelbagai hasutan yang dilakukan oleh pihak tertentu menjelang tempoh akhir berkempen pada PRK DUN Nenggiri.

“Kita kena tenang, kita kena fokus dan bagi peluang kepada BN. Perjuangan BN tak kira masa. Dan sememangnya sentiasa berjuang untuk rakyat. Apa yang rakyat suarakan itu selalunya, kami akan buat sebaik mungkin untuk melaksanakan apa juga permintaan daripada rakyat berdasarkan kemampuan, insya-Allah,” ujarnya. – MalaysiaGazette