Razlam menunjukkan ketulan mampat ganja yang disembunyikan dalam kotak buah tulisan Siam pada sidang media di IPD Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kegiatan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mengedar ganja bersama sepupunya sejak Mac lalu terbongkar selepas mereka ditahan polis dalam satu serbuan di Kampung Dodol, Jalan Perak, di sini, pada Khamis lalu.

Serbuan jam 8.38 malam itu turut membawa kepada rampasan 50 ketulan mampat ganja serta sitaan harta bernilai keseluruhan RM165,347.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, ketika serbuan suspek masing-masing berusia 18 dan 28 tahun itu sedang mengangkat dadah tersebut untuk dimasukkan ke dalam sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

Razlam (tengah) bercakap pada sidang media di IPD Timur Laut.

Jelas beliau, kesemua ketulan mampat ganja itu disembunyikan dalam tiga kotak buah bertulisan Siam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kita tidak menolak kemungkinan ganja yang dibawa masuk dari negara jiran menerusi jalan darat itu baru diperoleh daripada sindiket dan  untuk pasaran tempatan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek merupakan sepupu mereka aktif dalam kegiatan pengedaran ganja sejak Mac lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, hari ini.

Razlam menunjukkan ganja yang dirampas daripada dua suspek berusia 18 dan 28 tahun.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut wang tunai berjumlah RM2,300.

Tambah Razlam, hasil ujian air kencing mendapati remaja lelaki itu positif ganja selain memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai juruteknik elektrik itu direman selama tujuh hari sehingga 15 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis akan terus memperkasakan usaha bagi memerangi kegiatan pengedaran dadah bagi memastikan aktiviti terlarang itu dibanteras habis-habisan,” katanya. – MalaysiaGazette