KUANTAN – Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka pejabat baharu di Cameron Highlands dalam usaha memperluas perkhidmatannya, sekali gus memudahkan masyarakat setempat berurusan dengan suruhanjaya itu.
Menurut SPRM, cawangan baharu yang beroperasi 1 Julai lalu itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya hari ini.
Pejabat SPRM di Cameron Highlands itu terletak di C-1-29, Cameron Fair Jalan Persiaran Camelia, Tanah Rata.
Pejabat berkeluasan 57.8 meter persegi itu dilengkapi dengan bilik ketua cawangan dan bilik merakam kenyataan selain ruang kerja bagi menempatkan seramai empat warga SPRM.
Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan rasuah atau salah guna kuasa boleh hadir ke pejabat berkenaan atau menghubungi talian 05-485 0007. – MalaysiaGazette