KUALA LUMPUR – Seorang pemandu treler cedera selepas kenderaan dipandunya terbalik sebelum terbakar di Jalan Duta, berhampiran Plaza Tol Duta menghala pusat bandar hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal dilakukan mendapati treler terbabit telah hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbabas.
“Kemalangan itu menyebabkan kebakaran pada treler berkenaan yang kemudian dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Bagaimanapun pemandu treler itu telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Zamzuri, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan, ujarnya.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 12.03 tengahari dengan menghantar sepasukan dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hartamas.
Menururt Komander Operasi, Mohd Rosdi Yussof berkata, kemusnahan kebakaran dianggarkan sebanyak 50 peratus berjaya dipadamkan dan mangsa seorang lelaki berusai 30-an mengalami kecederaan di tangan dan kepala. – MalaysiaGazette