Hussin Zamora

KOTA TINGGI – Seorang warga emas berputih mata apabila RM212,000 selepas ditipu scammer yang menyamar sebagai pegawai syarikat penghantaran barang dan pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan yang berusia 63 tahun.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa semalam yang menyedari ditipu selepas melakukan 29 transaksi pindahan wang ke dalam enam akaun berbeza seperti diarahkan suspek.

“Semuanya bermula pada 31 Julai lalu, mangsa telah dihubungi oleh suspek yang mengaku dari syarikat DHL memaklumkan terdapat bungkusan yang dihantar atas nama mangsa di Shah Alam, Selangor.

“Seterusnya, panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mendakwa dirinya adalah seorang pegawai polis dan mangsa dimaklumkan terlibat dalam aktiviti pengubalan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa, kata Hussin, diminta membuat pembayaran bagi tujuan kos siasatan dan juruaudit.

Bagaimanapun pada Julai hingga kini, mangsa diarahkan oleh suspek untuk membuat penambahan pembayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan transaksi mencecah RM212,000.

“Mangsa menyedari dirinya telah ditipu apabila suspek tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung penyelesaian tuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atas mangsa walaupun telah membuat pembayaran,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Hussin menasihatkan orang ramai supaya lebih waspada dan tidak mudah percaya dengan penyampaian maklumat palsu serta mengelirukan.

Beliau mengingatkan orang ramai untuk menyemak nombor akaun sebelum melakukan sebarang transaksi kepada pihak tidak dikenali melalui perkhidmatan Semak Mule yang tersedia dalam talian serta memuat turun aplikasi Whoscall bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

“Jika menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Respone Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran wang keluar dari akaun suspek,” ujarnya.- MalaysiaGazette