JOHOR BAHRU – Zoo Johor menafikan tarikh pembukaan taman haiwan itu pada 29 Ogos ini adalah tidak sahih.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, pihak Zoo Johor juga menafikan harga masuk zoo terbabit yang tular dalam media sosial sejak semalam.

“Pihak Zoo Johor ingin memaklumkan bahawa makluman harga tiket dan tarikh  pembukaan  yang disebarkan semalam oleh pemilik akaun instagram bernama Norhafzanora dan diulang siar di mana-mana akaun media sosial lain adalah tidak sahih.

“Semua perkara adalah diperingkat perbincangan oleh pihak zoo dan Kerajaan Negeri Johor.

“Kami memohon untuk mana-mana pihak tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkenaan. Segala pengumuman berkenaan harga tiket dan tarikh pembukaan akan diumumkan oleh kerajaan negeri,” maklumnya.

Semalam, tular dalam media sosial tarikh pembukaan Zoo Johor yang didakwa 29 Ogos ini dengan harga tiket bagi dewasa RM10, kanak-kanak RM5 dan bukan warganegara RM30.

Khabar itu mengundang keterujaan orang ramai yang berhasrat untuk berkunjung ke Zoo Johor yang berusia 96 tahun itu telah ditutup untuk proses baik pulih dan menaik taraf yang bermula pada pertengahan Ogos tahun lalu.

Pada Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dilaporkan berkata, harga tiket Zoo Johor dijangka ‘naik sedikit’ sempena pembukaan semula yang dijadualkan pada Ogos ini selepas pelaksanaan kerja-kerja naik taraf.

Mohd Jafni juga memaklumkan kadar kenaikan itu akan sangat minimum dengan mengekalkan statusnya sebagai harga tiket zoo termurah di Malaysia.- MalaysiaGazette