Datuk Ir. Razali Kassim berkata tindakan tepat menyalurkan isu jalan berlubang dan berkaitan di aplikasi MyJalan memudakan pihak terbabit mengambil tindakan susulan bagi menyelesaikan kes jalan rosak di Pahang

KUANTAN – Sebanyak 137 jalan berlubang di Pahang dilaporkan dalam aplikasi MYJalan bagi tempoh 1 Ogos 2023 sehingga 31 Julai 2024.

Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, daerah Kuantan mencatatkan rekod tertinggi membabitkan sebanyak 68 aduan jalan berlubang dalam tempoh setahun itu.

”Manakala Rompin merekodkan 15 aduan, Pekan, Temerloh dan Bentong masing-masing 11 aduan, Maran dan Raub (3), Jerantut (9), Cameron Highlands (5), Bera (1).

”Tiada aduan berkaitan jalan berlubang di daerah Lipis,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah itu, statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia mencatatkan 267 aduan diterima dari Pahang.

Tambah beliau, keberkesanan aplikasi MYJalan telah membuka ruang dan peluang kepada pengguna membuat aduan secara khusus berkaitan jalan raya selain mengenali antara jalan negeri dan persekutuan di Pahang.

Menurut Razali, selain jalan berlubang, aduan diterima di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang menunjukkan kebanyakannya diterima membabitkan 54 jalan rosak, lampu isyarat (20), lampu jalan (18), garisan jalan (12), halangan (8), kemudahan awam (7), papan tanda (6) tanah runtuh (3) dan perabot jalan (2).

ARTIKEL BERKAITAN :

Kajian atasi kesesakan lalu lintas Cameron Highlands dijangka siap bulan depan

Keutamaan penempatan pegawai perubatan di HOSHAS – Razali