KUALA LUMPUR – Mahkamah Mahkamah Rendah Syariah memutuskan perkahwinan antara pempengaruh media sosial, Cleopatra dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin tidak pernah berlaku.
Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Cleopatra atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, 30, berkata, keputusan Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat dibuat berdasarkan penafian yang dibuat anak guamnya itu dan responden.
Beliau menjelaskan, disebabkan pernikahan itu tidak wujud, hakim tidak memiliki bidang kuasa untuk menilai dokumen pernikahan mereka yang dilampirkan sama ada sah atau tidak.
“Memandangkan kedua-dua belah pihak menafikan pernikahan itu maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk “entertain” (membuktikan) kerana perkahwinan itu tidak pernah berlaku.
“Hakim tidak menjurus kepada perkara itu (kesahihan sijil pernikahan) dan menyerahkan kepada polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengenai tindakan susulan, hakim syarie hanya fokus kepada pernikahan ini wujud atau tidak selepas kedua-dua pihak memaklumkan tidak pernah ke seberang (Thailand) dan wali anak guam tidak pernah ikut ke sana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas prosiding selesai di Mahkamah Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Sementara itu, Nur Fathiah meminta pihak polis menyiasat laporan yang dibuatnya sendiri sebelum ini ke atas ketulenan sijil pernikahan itu.
Beliau juga menegaskan menerima sendiri sijil itu yang diserahkan oleh Bakri di rumahnya sendiri tahun lalu.
“Alhamdulillah untuk peringkat seterusnya saya berharap pihak berkaitan akan menyiasat kewujudan sijil nikah palsu itu,” katanya.
Pada 28 Oktober tahun lalu, Nur Fathiah yang juga bekas calon kerusi Parlimen Batu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyangkal dakwaan telah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Bakri.
Nur Fathiah berkata, bekas pegawai polis tertinggi itu juga bukan merupakan pengerusi kepada anak syarikat miliknya.
Sebelum itu, Nur Fathiah telah memuat naik gambar dirinya dan Bakri di Instagram ketika mereka menghadiri konsert ‘Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto’.
Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen, malah gambar tersebut turut menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai. – MalaysiaGazette