Sebuah kereta Toyota Vios dan lori Toyota Dyna Hiace bertembung di Kilometer 12, Jalan Kuala Selangor-Rawang, dekat Kampung Kuantan, Kuala Selangor, hari ini.

KUALA SELANGOR – Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala ibunya dan seorang lagi lelaki parah selepas sebuah kereta dan lori satu tan bertembung di Kilometer 12, Jalan Kuala Selangor-Rawang, dekat Kampung Kuantan semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, kemalangan itu 2 petang itu melibatkan kereta jenis Toyota Vios dan lori Toyota Dyna Hiace.

Beliau berkata, ketika kejadian, Nur Arissa Safiyya Mohd Azril, 8, dari Kampung Kenangan, Rantau Panjang, Serdang, Kedah berada di tempat penumpang hadapan Toyota Vios.

“Nur Arissa Safiyya yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk menerima rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pukul 5 petang.

“Bagaimanapun, ibu mangsa, Norshaniza Mohamad Nayan, 34, dan pemandu lori, 58, masing-masing parah dan mendapat rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tanjong Karang,” katanya kepada MalaysiaGazette malam tadi.

Mohd Ambia memberitahu, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki guru wanita bersama anak perempuannya itu dalam perjalanan dari Bestari Jaya ke Kuala Selangor.

“Apabila tiba di lokasi iaitu semasa melalui selekoh, Toyota Vios disyaki hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Lori yang berada di laluan itu pula tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta terbabit,” katanya.

Menurut beliau lagi, proses bedah siasat sudah dijalankan dan punca kematian adalah disebabkan kecederaan di kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast