JOHOR BAHRU – Keluarga arwah Istiqomah Ahmad Rozi, 34, yang dibunuh kejam dengan anggota badan termasuk kepala dikerat, berharap jenazah isterinya dapat dituntut segera.
Suaminya, Mohd Yusof Mokhtar, 35, berkata, ini bagi membolehkan proses pengkebumian dapat yang dirancang keluarganya di kampung halaman arwah di Pasir Mas, Kelantan dapat disempurnakan.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, setakat ini keluarganya masih belum menerima sebarang makluman daripada pihak polis mahupun Hospital Melaka berkenaan proses tuntutan jenazah itu.
“Saya dimaklumkan, polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu termasuk menunggu laporan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas kepala dan jari yang ditemukan.
“Setakat ini, kami sekeluarga masih belum menerima khabar mengenai perkembangan terkini siasatan termasuk ujian padanan DNA yang dijalankan Jabatan Kimia Malaysia.
“Saya ada terbaca laporan akhbar bahawa mayat belum boleh dituntut dan polis menunggu laporan DNA, difahamkan ia akan diperolehi pada minggu depan.
“Kami di sini menunggu penuh sabar, saya amat berharap jenazah isteri dapat dituntut segera memandangkan sudah berbulan-bulan arwah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Semalam, media melaporkan keputusan ujian DNA ke atas kepala dan jari dijangka diketahui selewat-lewatnya minggu depan sebelum jenazah dibenarkan untuk dituntut oleh ahli keluarga mangsa.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, dua bahagian itu antara anggota tubuh yang baharu ditemui selepas penahanan suspek berusia 37 tahun yang juga bekas kenalan mangsa di universiti.
Pada 6 Januari lalu, mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, pukul 2 petang.
Siasatan awal disyaki mangsa dibunuh dengan anggota badan iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong dan disumbat ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang.
Isnin lalu, polis mengesahkan mayat berkenaan adalah cikgu Istiqomah yang dilaporkan hilang pada 27 Disember tahun lalu.
Susulan itu, sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun ditahan polis di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, mereka sekeluarga sentiasa mengikuti perkembangan kes arwah isterinya yang dilaporkan media arus perdana serta portal berita dalam talian.
“Tujuannya untuk mengetahui laporan berita semasa bagi mendapatkan maklumat terkini serta perkembangan siasatan yang dijalankan pihak polis,” ujarnya.- MalaysiaGazette