Petugas unit vektor Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-31, antara 28 Julai hingga 3 Ogos lalu menurun kepada 2,515 kes berbanding 2,609 kes pada minggu sebelumnya dengan lima kematian akibat komplikasi.

Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan pada tempoh itu adalah sebanyak 88,255 kes berbanding 71,193 kes bagi tempoh sama tahun 2023, kata Kementerian Kesihatan.

Manakala terdapat 78 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 49 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-31 pula sebanyak 95 lokaliti berbanding 96 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Daripada 95 lokaliti yang dilaporkan, 75 lokaliti di Selangor, enam lokaliti di Negeri Sembilan, lima lokaliti di Perak, masing-masing tiga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Sabah, dua di Kedah dan satu di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette