Razali Kassim
Razali Kassim

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memberi keutamaan penempatan pegawai perubatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HOSHAS) berbanding hospital-hospital lain di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, penempatan pegawai dilaksanakan dengan kadar agihan sebanyak 70 hingga 30 peratus antara hospital dan klinik kesihatan berikutan kekurangan pegawai perubatan di kemudahan kerajaan itu.

Menurut Razali, tenaga kerja pegawai perubatan turut diambil dari daerah berhampiran seperti di Jengka dan Jerantut dengan kaedah penggiliran bertugas di Jabatan Kecemasan HOSHAS pada waktu pejabat untuk merawat kes-kes perubatan am.

“Langkah ini tidak mengganggu pegawai perubatan yang bertugas di dalam wad, Katanya yang mengulas laporan media yang menyatakan kekurangan doktor di HOSHAS memberi kesan kelewatan mengambil darah pesakit selain proses memesan ubat.

Laporan tersebut mendakwa kegagalan menangani isu berkenaan boleh menyebabkan pegawai perubatan mengendalikan dan menanggung “hampir tiga kali” beban kerja biasa mereka.

Sementara itu, Razali berkata, pengambilan darah boleh dilakukan oleh jururawat terlatih atau penolong pegawai perubatan.

”Cadangan penubuhan “phlebotomy team” iaitu pasukan pengambilan darah pesakit juga akan direalisasikan di mana ian dilihat dapat membantu meringankan bebanan kerja pegawai perubatan agar dapat memberi fokus kepada perawatan pesakit,” ujarnya. – MalaysiaGazette