Tertuduh dihadapan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang Penolong Penguat Kuasa MBIP

JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM500 kepada pembantu penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), tahun lalu.

Tertuduh, Wai Chong Yow, 45, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu memberi suapan wang tunai RM500 kepada Pembantu Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kilangnya yang beroperasi tanpa lesen.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada pukul 11.30 pagi di Taman Perindustrian JB Perdana, di sini pada 24 Oktober 2023.

Bagi perbuatan itu, lelaki itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Chong Yow boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi manakala tertuduh diwakili peguam Goh Sze Han.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain lapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Sze Han memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan seorang isteri serta dua anak berusia 10 dan 12 tahun yang masih bersekolah selain menanggung ibunya yang sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Ogos untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast