KEPALA BATAS – Lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan menikam ibu saudaranya dengan gunting dalam kejadian di sebuah rumah di Pekan Darat, di sini semalam direman selama tujuh hari.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan C.Tharmalingam berkata, tahanan reman terhadap suspek berusia 43 tahun itu yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dibenarkan sehingga 21 Ogos ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek mengalami kecederaan pada bahagian kepala akibat terjatuh dalam insiden semalam dan dia kini sudah menjalani pembedahan termasuk menerima beberapa jahitan di kepala.
“Siasatan awal setakat ini mendapati suspek negatif dadah namun ahli keluarga mendakwa dia kerap menghisap gam.
“Pihak polis sedang melengkapkan siasatan kes ini termasuk merakamkan percakapan ibu suspek serta saksi lain cuma keterangan suspek akan dibuat selepas dia pulih daripada rawatan hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, ibu mangsa yang cedera dalam insiden telah dibenarkan pulang ke rumah semalam.
”Wanita berusia 72 tahun itu mengalami kecederaan pada tangan dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang wanita warga emas maut selepas ditikam anak saudaranya menggunakan gunting pada bahagian kepala dalam kejadian di sebuah rumah di Gelung Bubu, Pekan Darat di sini.
Mangsa berusia 80 tahun itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya.
Insiden jam 11 pagi itu turut mengakibatkan ibu kandung kepada suspek lelaki berusia 43 tahun itu turut mengalami kecederaan dan kini sedang rawatan di Hospital Kepala Batas. – MalaysiaGazette