KUALA LUMPUR – Wanita Asia pertama diangkat sebagai Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat), Datuk Seri Paduka TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu.
Pelantikan Maimunah, 63, telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelantikan Maimunah berkuat kuasa 15 Ogos bagi menggantikan Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.
“Saya percaya dengan pelantikan ini, beliau akan dapat meneruskan kesinambungan pengalaman dan sumbangan beliau untuk memimpin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan penuh integriti bagi memastikan kemampanan pembangunan, kecemerlangan dan kegemilangan berterusan ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang maju dan sejahtera.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada YBhg. Datuk Seri PMgr. Sr. Haji Kamarulzaman Mat Salleh atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menjawat jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.
Maimunah menjadi Pengarah Eksekutif UN-Habitat yang berpusat di Nairobi, Kenya selama 6 tahun.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).
“Dengan pengalaman selama 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti, beliau adalah individu yang bertanggungjawab mengembalikan kedudukan UN-Habitat sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan,” kata Zaleha.
Mainumah juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Secretary-General’s Task Force on the Future Cities dan Pengerusi Bersama Local 2030 Coalition.
Kini, beliau dilantik sebagai Penasihat kepada International Council for Local Environment Initiative (ICLEI).
Beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti pengiktirafan sebagai Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Ahli Kehormat Royal Town Planner’s Institute, United Kingdom; Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG).
Beliau juga pernah dilantik sebagai Ambassador of His Majesty King Charles III (King’s Foundation) dalam perbandaran mampan di negara-negara Komanwel.
Maimunah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.
Beliau juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. -MalaysiaGazette