KUALA LUMPUR – Malaysia memberi jaminan berhubung kesediaan membantu Bangladesh mengembalikan keamanan dan ketenteraman ke arah pembangunan semula negara itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam masa sama, menurut Perdana Menteri, Malaysia juga gembira dengan jaminan yang diberikan oleh Ketua Penasihat kepada Kerajaan Interim Bangladesh, Dr. Muhammad Yunus untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk golongan minoriti.
“Malam tadi saya telah membuat panggilan telefon kepada sahabat lama saya, Prof. Muhammad Yunus, bagi mengucapkan tahniah dan bertanyakan khabar susulan pelantikan beliau sebagai Ketua Penasihat kepada Kerajaan Interim Bangladesh baru-baru ini.
“Prof. Yunus mempunyai sejarah hubungan yang baik dengan Malaysia.
“Prof. Yunus turut menjemput saya untuk melakukan lawatan pendek ke Bangladesh dalam masa yang terdekat bagi mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan di antara kedua-dua negara,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Anwar mengucapkan tahniah kepada Dr. Muhammad Yunus yang juga pemenang hadiah Nobel atas pelantikannya sebagai penasihat utama kerajaan sementara Bangladesh.
Perdana Menteri berkata, pengalaman luas Dr. Muhammad Yunus pasti akan mampu memimpin negara berkenaan dengan kebijaksanaan dan integriti.
Minggu lalu, Dr. Muhammad Yunus mengangkat sumpah sebagai Ketua Kerajaan Sementara negara itu selepas beberapa minggu protes yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Perdana Menteri, Sheikh Hasina.
Majlis mengangkat sumpah itu berlangsung di pejabat Presiden Mohammed Shahabuddin di ibu negara Dhaka. – MalaysiaGazette